Proton e.MAS 7 Menjadi Model EV Terlaris di Malaysia
- Panduman
- Apr 9
- 3 min read

PRO-NET, anak syarikat kepada pengeluar kereta nasional PROTON, dengan bangganya mengumumkan bahawa Proton e.MAS 7 telah merangkul pencapaian baharu dengan jumlah penghantaran sebanyak 1,853 unit bagi suku pertama tahun 2025. Dengan 797 unit terjual pada bulan Mac yang lalu, pegangan pasaran YTD bagi model ini sebanyak 30%, sekaligus mengukuhkan kedudukan Proton e.MAS 7 sebagai model EV terlaris di Malaysia.
Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas sokongan yang tidak terhingga, keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap Proton e.MAS 7 bahawa kami mampu menyediakan ekosistem yang membolehkan mereka menikmati pengalaman pemanduan elektrik dengan penuh kepuasan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengedar dan rakan kongsi kami kerana berjaya dalam menyediakan ekosistem keperluan pelanggan. Pencapaian ini menjadi dorongan untuk kami terus memperbaiki diri dalam menawarkan produk berkualiti tinggi serta memberikan pengalaman pemilikan yang lebih baik kepada pelanggan kami.”
Direka untuk Semua Rakyat Malaysia

Proton e.MAS 7 hadir dengan pelbagai ciri terbaik dalam kelasnya pada harga yang mampu milik untuk semua rakyat Malaysia yang ingin beralih kepada mobiliti lestari. Harga bermula daripada RM105,800 untuk varian Prime dan RM119,800 untuk varian Premium.
Dengan 33 ruang simpanan pelbagai saiz untuk menyimpan barangan peribadi anda dan jarak antara roda yang panjang memberikan lagi keselesaan ruang kepada penumpang, Proton e.MAS 7 menawarkan pelbagai kelebihan yang menjadi pilihan para pembeli.
Dalam satu kajian terkini yang dijalankan oleh PRO-NET, tiga sebab utama pelanggan memilih Proton e.MAS 7 adalah kerana nilai yang berbaloi dengan harga yang ditawarkan, ruang kabin dan ruang bagasi yang luas, serta ciri-ciri inovatif yang terdapat pada kenderaan ini.
Selain daripada pelbagai ciri keselesaan moden, aspek keselamatan turut menjadi keutamaan. Proton e.MAS 7 dilengkapi dengan Bateri AEGIS Short Blade yang telah menjalani ujian siri ekstrem pertama dalam industri. Ujian ini membuktikan ketahanan bateri terhadap haba yang melampau, hakisan air masin, geseran pada bawah bateri, bebanan berlebihan, serta hentaman dari sisi.
Bateri ini juga menawarkan jarak WLTP yang tepat, seperti yang telah diuji dan dibuktikan dalam ujian jarak secara langsung yang dijalankan awal bulan lalu menggunakan varian Proton e.MAS 7 Prime.
Ekosistem Pengecasan dengan Aplikasi Proton e.MAS 7
Bagi memudahkan peralihan dari kenderaan enjin petrol (ICE) ke kenderaan elektrik (EV), pemilik baharu kini mempunyai akses kepada lebih 2,300 poin pengecasan awam (lebih 90% pengecas awam) di Malaysia yang dikendalikan oleh Gentari, JomCharge, chargEV, DC Handal, Chargesini, Carput Zap, RExharge, dan Charge+.
Selain itu, 75 poin pengecasan DC sehingga 120kW tersedia di beberapa pusat pengedar PROTON Proton e.MAS, dan smart. Hal ini memberikan pemilik e.MAS 7 lebih banyak pilihan untuk mengecas kenderaan elektrik mereka.
Selain itu, Aplikasi Proton e.MAS juga memudahkan akses ke semua poin pengecasan dengan menyenaraikan kesemua Pengendali Poin Pengecasan dalam Peta Pengecasan Bersepadu Langsung. Peta pengecasan yang komprehensif ini terus berkembang dan pemilik digalakkan untuk memastikan aplikasi mereka untuk sentiasa dikemas kini. Aplikasi Proton e.MAS membolehkan pembayaran pengecasan dengan lebih mudah, boleh muat turun di Apple App Store dan Google Play.
Dengan bilangan muat turun yang meningkat setiap hari, PRO-NET mencatatkan sejumlah 1,145 sesi pengecasan yang dilakukan melalui Aplikasi Proton e.MAS dalam tempoh tiga bulan.

"Matlamat kami bukan hanya sekadar menjual kereta, kami ingin membangunkan ekosistem yang lengkap yang tidak hanya melibatkan 36 pengedar dengan poin pengecasan DC dan perkhidmatan selepas jualan, tetapi juga seluruh infrastruktur pengecasan EV di Malaysia. Kami juga bekerjasama rapat dengan CPO (Pengendali Poin Pengecasan) untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah kerana kami mahu pelanggan kami beralih dari ICE ke EV dengan lancar," kata Zhang Qiang.
Selain itu, Proton e.MAS 7 mula mendapat pengiktirafan antarabangsa, bermula dengan debut SUV EV ini di Nepal dan akan dilancarkan tidak lama lagi di Trinidad dan Tobago. Di samping itu, Proton e.MAS 7 sedang melalui perjalanan epik merentasi ASEAN, bermula dan berakhir di Malaysia.
Commentaires