Mazda3 Concept Tampil Dengan Teknologi Canggih dan Rekaan Futuristik
- Panduman
- Apr 10
- 2 min read

Bermaz Motor Trading Sdn Bhd, pengedar eksklusif Mazda di Malaysia, dengan bangganya mempersembahkan pratonton eksklusif prototaip Mazda3 Concept di Bermaz Auto Showcase. Prototaip baharu yang berani ini dihasilkan oleh Bahagian MazdaSports Bermaz, sebagai interpretasi semula terhadap intipati asal Mazda3 MS Edition yang diperkenalkan pada tahun 2016, dengan penambahbaikan rekaan yang lebih menyerlah serta inovasi terkini yang berfokuskan kepada pemandu.

Mazda3 MS Edition 2016 sebelum ini dibangunkan bagi menghidupkan kembali semangat para peminat Mazda, dengan menonjolkan karakter sporty Mazda3. Kini, prototaip Mazda3 Concept 2025 mencerminkan visi Bermaz dalam menawarkan pengalaman Jinba-Ittai (hubungan antara kuda dan penunggangnya) yang lebih peribadi. Walaupun ia merupakan sebuah unit prototaip, model ini memperlihatkan komitmen Bermaz terhadap inovasi dan para peminat Mazda melalui interpretasi rekaan Kodo yang lebih berani bagi memberikan keterlibatan pemanduan yang lebih mendalam.


Menggabungkan prestasi, gaya, dan kehalusan, Mazda3 Concept dilengkapi dengan rim Enkei Tuning SC22 dalam kemasan Matte Gunmetal, yang menyerlahkan lagi kedudukan dan kawalan pemanduan sejajar dengan semangat Jinba-Ittai. Ia turut dilengkapkan dengan pad brek Endless Super Street S-Sports, yang menawarkan kestabilan brek yang cemerlang, tahan terhadap “fade”, serta keselesaan menyeluruh—direka khas untuk pemandu yang mengutamakan kawalan berprestasi tinggi dan keyakinan semasa memandu.
Kit badan eksklusif berwarna piano black menyerlahkan lagi gaya agresif namun sofistikated Mazda3, menekankan garis aerodinamiknya yang tajam dan kecekapan reka bentuknya. Spoiler belakang yang direka semula menajamkan siluet sporty model ini sambil meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi. Tip ekzos yang diperbesarkan serta bar strut hadapan yang memaparkan inisial “MS” memberikan sentuhan berani berinspirasikan prestasi sebenar.

Bahagian kabin menawarkan pengalaman premium dengan sentuhan gaya sukan permotoran. Tempat duduk berbalut suede dengan jalur tengah berwarna merah menyerlahkan keseimbangan antara gaya visual dan keselesaan sepanjang hari, manakala stereng berbalut suede meningkatkan cengkaman dan ketepatan pemanduan. Pelekat vinil badan eksklusif pula menghubungkan elemen rekaan dalaman dan luaran, mencerminkan keseimbangan yang elegan antara hasil kerja buatan yang teliti dan sentuhan gaya atau identiti individu.

Mazda3 Concept telah dilaras semula dari segi struktur dan suspensinya supaya lebih sedap dipandu, lebih stabil di selekoh, dan lebih selesa untuk pemandu dan penumpang. Material premium dan ketelitian dalam ketukangan bukan sahaja mencantikkan reka bentuk, malah meningkatkan fungsi keseluruhan. Lebih daripada sekadar kenderaan, Mazda3 Concept merupakan simbol inovasi, prestasi dan penglibatan pemandu dicipta khusus buat mereka yang menginginkan hubungan lebih mendalam dengan jalan raya.
Pameran Mazda3 Concept di Bermaz Auto Showcase:
Lokasi | LG Oval Concourse, 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya | G Floor Main Atrium Queensbay Mall, Penang |
Tarikh | 10th – 13th April 2025 | 16th – 20th April 2025 |
Masa | 10:00 AM – 10:00 PM | 10:00 AM – 10:00 PM |
Comments