BYD Sime Motors Bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Untuk Kurangkan Emisi Karbon Melalui EV di Malaysia
- Anna Chong
- 1 day ago
- 2 min read

Didorong oleh komitmennya untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, BYD Sime Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia dan Jenama Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) Nombor 1 di negara, menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam usaha mencapai agenda mobiliti rendah karbon negara. Salah satu tujuan utama kerjasama ini adalah untuk mengurangkan emisi karbon melalui penggunaan EV di Malaysia.
Sebahagian daripada kerjasama ini, program bernama “Jom Pandu BYD Bersama MOT” telah dilancarkan dan akan dijalankan selama enam bulan. Disokong oleh rakan niaga BYD Sime Motors, Gentari Sdn Bhd (“Gentari”) melalui Gentari Green Mobility Sdn Bhd, telah memasang dua pengecas EV di ibu pejabat MOT, inisiatif yang membolehkan kakitangan MOT memandu uji semua model EV BYD dan merasai sendiri inovasi di sebalik kemajuan pengangkutan elektrik ini.

Kerjasama ini telah dilancarkan secara rasmi di pejabat MOT di Putrajaya oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dan Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors. Turut hadir bersama ialah YB Datuk Haji Hasbi Bin Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan; YBhg. Dato' Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan; Adeline Lew, Pengurus Besar, BYD Sime Motors; dan Izuan Hafiz, Ketua Mobiliti Hijau MY-SG, Gentari Green Mobility.
Melalui inisiatif ini, BYD Sime Motors akan meminjamkan rangkaian EV penuh kepada MOT, termasuk model BYD SEALION 7, BYD SEAL, BYD ATTO 3 ULTRA, BYD M6, dan BYD DOLPHIN. Kerjasama ini membolehkan kakitangan MOT memandu uji kenderaan tersebut dan memperoleh maklumat secara langsung serta praktikal mengenai prestasi, keselesaan dan kemudahan harian EV. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pemilikan dan kebolehgunaan EV.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Asia Tenggara, Sime Motors, semasa mengulas di majlis tersebut berkata, “BYD Sime Motors berbangga menjadi peneraju inisiatif ini dalam memacu peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik bersama Kementerian Pengangkutan. Kami terus komited dalam menyokong usaha kementerian untuk mengurangkan pelepasan karbon. Melalui pengalaman menyeluruh ini, kami berharap dapat menggalakkan penggunaan EV yang lebih meluas, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat umum tetapi juga dalam kegunaan mobiliti kerajaan.”
Selain daripada pengalaman produk, inisiatif ini merupakan langkah strategik ke arah integrasi EV dalam operasi kerajaan, menyokong peralihan ke arah sistem pengangkutan yang lebih mampan dan rendah karbon.

BYD Sime Motors, dengan kerjasama Gentari, telah memasang dua pengecas AC 22kW di ibu pejabat MOT di Putrajaya. Pemasangan peralatan tersebut menekankan kepentingan perkongsian awam-swasta yang kukuh dalam usaha membina rangkaian pengecas EV yang boleh dipercayai, selamat dan mudah didapati di seluruh Malaysia. Sehingga kini, Gentari mengendalikan lebih 530 pusat pengecasan EV di seluruh negara, memainkan peranan aktif untuk menyumbang kepada sasaran negara untuk menyediakan sejumlah 10,000 pengecas awam menjelang 2025, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Commentaires