Audi Lancarkan SUV Keluaran Tempatan Pertama di Malaysia
- Anna Chong
- 3 hours ago
- 2 min read

SUV pertama Audi iaitu Q7 - telah memasuki fasa ‘permulaan pengeluaran’ hari ini - sebagai model Audi pertama dalam segmen ini yang dipasang di kilang tempatan di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Kenderaan Elektrik Hibrid Ringan (MHEV) tujuh tempat duduk ini adalah model Audi pertama yang dihasilkan di kilang pemasangan Volkswagen Group Malaysia (VGM) di Pekan, Pahang, yang juga satu-satunya kemudahan pengeluaran Audi tempatan di rantau Asia Tenggara. Kilang bertaraf dunia yang mantap ini telah pun memasang model Volkswagen untuk pasaran Malaysia, bersama DRB-Hicom sebagai Rakan Kongsi Pengilangan Kontraknya.

"Kilang pembuatan ini serta perubahannya dengan portfolio produk yang telah dimodenkan dan dinaiktaraf ini betul-betul mantap dan cemerlang. Pelanggan akan terus menikmati pengalaman kualiti, prestasi dan kemewahan Audi yang sama - namun kini yang diperbuat dari kilang Malaysia," kata Dr Susanne Lehmann, Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia.
"Pelancaran hari ini bukan hanya sekadar pelancaran, malah ia menandakan simbolik visi, perkongsian, inovasi dan kemajuan," tambah Dr Susanne. Pengeluaran dan infrastruktur kejuruteraan Jerman bertaraf dunia VGM di sini mewakili standard tertinggi kualiti, kemampanan dan pembuatan pinta.

Kilang di Pekan ini juga dijangka turut melancarkan model Audi lain pada masa akan datang, dengan kapasiti 5,000 unit setahun. Lebih RM12 juta pelaburan awal telah dilaksanakan bagi merealisasikan visi ini, sekaligus mengukuhkan kehadiran jenama dalam segmen mewah premium di Malaysia. Pelaburan ini juga sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk meletakkan negara sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi, bernilai tinggi di bawah Dasar Automotif Nasional.

Sumbangan Pasaran Mobiliti Mewah
Keputusan untuk melakukan pengeluaran tempatan dibuat di tengah-tengah permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan mewah di Malaysia, adalah didorong oleh peningkatan pendapatan boleh guna, pembandaran dan peralihan dalam pilihan pengguna terhadap penyelesaian mobiliti premium.
“Dengan memasang beberapa kenderaan utama kami di sini, kami boleh menawarkan harga yang lebih kompetitif dan masa penghantaran yang lebih singkat kepada pelanggan kami,” kata Denyu Bostandzhiev, Pengarah Urusan PHS Automotive Malaysia.

"Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk SUV segmen D, kami percaya bahawa masa inilah yang paling sesuai untuk menambah Q7 kepada rangkaian model Audi kami untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di sini dan di rantau ini. Q7 jenama terpilih ini bakal menerajui lebih banyak jualan dalam segmen mewah premium kita," tambah Denyu.
Audi Q7 S line baharu - Kenderaan Elektik Hibrid Ringan (MHEV), berharga antara RM469,000 dan RM489,000, kini dibuka untuk tempahan, dan dijangka akan dilancarkan pada bulan hadapan.
Comments